Assalamu'alaikum Warahmatullah
Wabarakatuh..
Bismillahir Rahmanir Rahim...
Alhamdulillah...bersyukur yang teramat
sangat kerana telah diberikan peluang untuk menghirup udara untuk
hari ini...
Saudara dan saudariku,
kebelakangan ini terlalu kerap kita
mendengar dan menerima berita berita...berita yang pelbagai unsur.
Dari media media massa seperti televisyen, SMS, dan tidak kurang juga
daripada mulut 'transmitter manusia'. Dan acapkali berita yang
diterima itu, jangan terkejut, jauh asal dari rupa. Ada yang bohong
belaka. Dan ramai yang terus meneriama berita berita tersebut mentah
mentah. Bila mengetahui hal sebenar, rasa tertipu dan dibodohi
menyelubungi hati. Hendak di'rewind' kembali, sayang, terlajak perahu
dapat berpusing, terlajak 'kata'...ish.
Saudara dan saudariku,
perkara ini sering saja terjadi apatah
lagi sejak meletusnya perkembangan media massa. Media massa amat
berpengaruh dalam menyebar luaskan skop sesuatu maklumat. Yang
menyedihkan apabila kini, ramai yang berlumba lumba untuk menjadi
'PENYEBAR PERTAMA', bukan 'PENYEBAR TERPERCAYA'. Gossip dimana mana,
baru dengar dari mulut atau sumber sumber tertentu terus heboh.
Ayat ke-6 dalam Surah Hujurat yang kira
kira bermaksud,
“ Wahai orang orang yang beriman!
Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa sesuatu berita,
maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan sesuatu
kaum kerana kebodohan (kecorobohan), yang akhirnya kamu menyesali
perbuatanmu itu.”
Saudara dan saudariku,
kita rujuk kepada ayat yang tersebut di
atas. Satu panduan daripada Allah. Kita selaku muslim yang beriman,
sepatutnya meneliti apa jua perkhabaran yang diterima, apatah lagi
jika si pembawa berita bukan golongan orang yang beriman. Kerana
Allah melarang kita daripada tunduk kepada jari kaum penentang.
“Janganlah orang orang beriman
menjadikan orang kafir sebagai pemimpin, melainkan orang orang yang
beriman.”(Ali Imran 3:28)
Saudara dan saudariku,
dengan berhati hati apabila menerima
sesuatu berita, banyak musibah dapat kita hindari. Pernahkah awda
menerima SMS berantai? Sama ada berbentuk pesanan ilmiah, mahupun
berita. Biarpun ilmiah, harus kita berhati hati. Jangan terlalu cepat
menerima sehingga kita menjadi manusia yang bodoh. Dan terlalu mudah
menyebarkan pada yang lain. Awda rugi kredit. Bayangkan berapa yang
dapat dijimatkan. Bayang berapa saat dapat dijimatkan. Masa itu
penting. Jangan dibazirkan. Apa saja pembaziran yang kita lakukan,
musuh kita yang nyata memang bersorak gembira bila bertambah
sahabatnya.
Saudara dan saudariku,
banyak persengketaan terjadi akibat
projek penyebaran berita ini. Biarpun sesuatu benda itu benar, tapi
bila ia memburuk, maka si penyebar telah menyebabkan aib seseorang
terbuka. AWAS! Siapa yang sukabila aibnya dibuka? Bertambah parah
bila ia berbentuk fitnah. Dahsyatnya kesan nya. Kepada si 'terfitnah'
dan jua kepada si 'penyebar'. Si terfitnah akan berasa malu yang
teramat sangat. Pelbagai persoalan dan perlabelan diberikan
kepadanya. 'Benarkah?''Kau tak malu ke?”...si penyebar pula, bila
menyedari ia adalah fitnah semata-mata, wah, masa sudah terlambat.
Terlajak sampan dapat berpusing, tapi terlajak 'kata-kata', tidak
mungkin kecuali maaf. Maaf bukan suatu yang mudah.
Saudara dan saudariku,
apa akibatnya pula kalau berita itu
memang baik?tetapi tidak benar?kecoh!berita 'menang hadiah sejumlah
$$$', 'free ini, free itu' tapi bersyarat 'anda mesti
membeli/membelanjakan $$$'. berapa ramai yang terperangkap dalam
modus ini. Berapa ramai yang kerugian. Tidak kah kita mempelajari
sesuatu dari situasi ini? Kerugian harta benda. Memang harta benda
tidak lah yang terpenting, boleh diganti lagi dengan usaha dan
tawakkal dan rezeki dari Illahi. Tapi, bayangkan apa yang dapat
dibuat dengan harta itu di jalan Allah. Beli pakaian anak, makan
minum, derma pada anak yatim dan sebagainya. Sangat menyedihkan bila
ada yang terus jatuh papa sehingga terpaksa meminjam ke hulu ke
hilir.
Saudara dan saudariku,
kini terlalu banyak penyebaran fitnah
yang berlaku. Berhati hatilah. Jangan terlalu mudah percaya akan
sesuatu berita. Sebaliknya, telitilah ia terlebih dahulu akan
kesahihannya. Jangan kita menjadi si penerima fitnah, apatah lagi
penyebar fitnah. Sebaliknya, tegakkan dan sebarkan kebenaran.
“ Janganlah kamu campur-adukkan
antara kebenaran dan kebatilan, dan kamu sembunyikan yang benar
padahal kamu mengetahuinya. “ (Al Baqarah 2:42)
Saudara dan saudariku,
marilah kita saling ingat mengingati.
Semoga kita akan jadi satu ummat yang berjaya.
Assalamu'alaikum Warahmatullah.